Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Alhamdulillah ke hadrat Ilahi yang memberi ilham pada hari ini untuk terus berkongsi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang ada dalam isi hati hamba-Nya. Meskipun kita tidak meminta tetapi pasti Allah sudah pun tahu apa yang kita mahukan. Namun begitu, kita tidak seharusnya mengambil remeh daripada berdoa dengan tepat atau spesifik.
Ramai antara kita yang mengambil remeh tentang hal tersebut. Dengan mengetahui Allah Maha Mengetahui, kita tidak mengambil inisiatif untuk berdoa dengan lebih spesifik. Sesungguhnya berdoa secara spesifik itu adalah usaha seorang hamba untuk memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh agar mengabulkan doanya.
Contoh;
Apabila kita perlukan duit daripada ibu untuk bayar sewa bernilai RM200 adakah kita hanya akan berkata begini?
“Ibu, bulan ini saya ingin meminta duit sewa”
Pastinya kita akan menyatakan nilai duit tersebut seperti ini;
“Ibu, bulan ini saya ingin minta duit sewa RM200″
Hasilnya ibu tahu dan jelas berapa nilai yang kita perlukan untuk membayar duit sewa pada bulan itu dan kita dapat nilai yang kita perlukan dengan tepat.
Begitu juga dengan Allah. Kita perlu menyatakan secara spesifik apa yang kita minta agar doa kita jelas atau nanti kita menyalahkan Allah kerana mengabulkan permohonan yang salah.
Contoh;
“Ya Allah aku mohon dapat pergi Seminar Baitul Muslim”
Allah kabulkan tetapi Dia buat kita berhutang. Kemudian kita pula salah Allah kerana terpaksa meminjam duit orang lain untuk menyertai seminar tersebut. Sebaiknya berdoa secara tepat.
Contoh;
“Ya Allah aku mohon dapat pergi ke Seminar Baitul Muslim dengan mudah dan tanpa berhutang secara percuma”
Sesungguhnya Allah itu Maha Kaya, tidak mustahil ada orang bayarkan kita pergi ke seminar itu.
Saya pernah mohon dapat pergi satu program bernilai RM60. Saya berdoa secara spesifik dapat pergi secara percuma, hasilnya saya dapat pergi secara PERCUMA. Ya, ini kisah benar, saya dapat pergi secara percuma. Selain itu, saya berdoa dapat pergi ke program bernilai RM1, 999 secara percuma, alhamdulillah dapat pergi secara percuma!
Saya juga pernah berdoa dapat sertai kursus perniagaan internet bernilai RM399, alhamdulillah hasilnya saya dapat masuk secara percuma! Ada orang lain yang bayarkan yuran kursus itu untuk saya. Subhanallah. Terima kasih Allah.
Itulah kuasa berdoa secara spesifik. Di samping itu, Al Quran juga telah menekankan tentang doa secara spesifik. Kita perhatikan Surah Al Fatihah ayat 6;
“Tunjukilah kami jalan yang lurus.”
Bagaimana jalan yang lurus itu? Ia dijawab dalam ayat 7;
“Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.”
Allah menerangkan apakah ‘jalan yang lurus’ yang dimaksudkan dalam Surah Al Fatihah ayat 6 dengan menspesifikkan lagi dalam ayat 7. Hasilnya kita faham apakah sebenarnya maksud ‘jalan yang lurus’ itu.
Sungguh Allah itu Maha Mengetahui tetapi itu bukan alasan untuk kita tidak berdoa secara spesifik dan tepat. Jika ingin dimurah rezeki, spesifikkan rezeki yang murah yang bagaimana?
Sebab itu, Allah kabulkan dapat tembikai lepas keluar solat Jumaat, lepas itu dapat makanan percuma kemudian dapat kuih untuk makan petang percuma tetapi semua makanan tidak dapat dihabiskan.
Di samping itu, pasti antara kita mahu hutang dilangsaikan, Jadi berdoa kepada Allah agar Allah langsaikan hutang kita;
Contoh;
“Ya Allah aku mohon agar langsaikan hutangku dan keluargaku agar kami mampu menunaikan haji kerana sesungguhnya orang yang menunaikan haji itu adalah orang yang mampu iaitu orang yang telah langsai hutangnya dan berkemampuan pergi menunaikan haji”
Tidak mustahil hutang kita dilangsaikan oleh orang lain. Pemergian kita menunaikan haji dibayar oleh orang lain sebagai contoh dapat tajaan 100%. Subhanallah.
EmoticonEmoticon