20 LANGKAH MERAIH RIZQI YANG BARAKAH.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين و على آله وصحبه اجمعين. أما بعد:

TAZKIRAH HARI INI UNTUK RENUNGAN BERSAMA.   
(Vietnam,  Ahad 22 Mac  2015).

20 LANGKAH MERAIH RIZQI YANG BARAKAH.

Setiap manusia yang dilahirkan di dunia ini telah pun di tetapkan rezekinya sama ada banyak atau sedikit sejak di dalam kandungan ibunya lagi. Keyakinan kepada rezeki yang datangnya daripada Allah SWT adalah merupakan salah satu daripada rukun iman yang ke 6 iaitu percaya kepada qada dan qadar.

Setiap rezeki manusia sudah ditetapkan oleh Allah. Jadi kita tidak perlu risau dalam hal ini. Allah SWT menyebut di dalam surah al-An’am, ayat 151 yang bermaksud : 

 وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُم مِّنْ إِمْلَاقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ.

Ertinya:
"Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kemiskinan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka (yakni anak-anak)”.

Walau bagaimanapun kita perlu berusaha dan bertawakkal kepada Allah SWT untuk memiliki rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan cara berusaha yang di benarkan oleh Syara'.

Ada beberapa perkara si dalam Islam  untuk mendapat rezeki yang berkat. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Jangan Tinggalkan Ibadah Kepada Allah SWT.

Pastikan solat 5 waktu dikerjakan tepat pada waktunya, sebaik-baiknya secara berjemaah dan pergi ke tempat ibadah ke masjid ataupun surau.

Firman Allah SWT dalam hadis qudsi yang maksudnya : 

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembahku nescaya Aku membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu”. (HR. Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah, dan al-Hakim).

2. Memperbanyakkan Taubat Dan Istighfar Kepada Allah SWT. 

Memohon kepada Allah SWT, merintih dan mengakui dosa dan kesalahan di hadapan Allah SWT boleh menjadikan sebab Allah SWT akan bertambah kasih kepada kita.

Allah SWT berfirman dalam Surah. Nuh, ayat 10-12:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا  
يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا    
وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

Ertinya:
(10) “Mohonlah ampunlah kepada Rabb kalian, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. 
(11) Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat (melimpah ruah membawa kebaikan)
(12) Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai (yang penuh dengan kebaikan dan manfaat).” 

Rasulullah SAW bersabda: 

” Barangsiapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka". (HR. Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim).

3. Meninggalkan Perbuatan Dosa-dosa Dalam Hidup.

Setakat beristighfar sahaja tidak mencukupi kalau masih melakukan dosa. Kita wajib meninggalkan perbuatan dosa dan kesalahan tersebut. 

Nabi SAW bersabda maksudnya : 

“Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan, dan tidak akan ditolak Qadar Allah SWT (iaitu qadar al-Mu’allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu ditahan rezekinya disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya” 
(HR. Ibn Majah, Ahmad ).

Sabda Rasulullah SAW dalam riwayat yang lain : 

“…dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya” (HR. At-Tirmizi)

4. Banyak Mengingati Allah SWT.

Sumber rezeki dalam bentuk ketenangan yang Allah SWT janjikan dalam firmannya dalam surah Ar-Ra’d, ayat 28 yang bermaksud :

Surah Ar-Rad, ayat  28:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia".

5. Berbakti Dan Mendoakan kedua Ibu Bapa.

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad boleh memanjangkan umur dan di murahkan rezeki. 

“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (HR. at-Tabrani dan al-Hakim).

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud : 

“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (HR. al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat Baik Dan Suka Menolong Orang Yang Lemah

Membantu orang yang memerlukan bantuan seperti orang tua, orang sakit, anak yatim, orang fakir miskin, isteri dan anak-anak. 

Sabda Nabi SAW yang maksudnya : 

“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (HR. Bukhari).

7. Menyampaikan Hajat Orang Lain.

Apabila kita menyampaikan hajat saudara kita maka Allah SWT akan membalasnya dalam bentuk tertunainya pula hajat kita.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (HR. Muslim).

8. Memperbanyakkan Solawat Ke Atas Junjungan  Kita Nabi Besar Muhammad SAW.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : 

“Barangsiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barangsiapa berselawat kepadaku dari jauh, maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya. ” (HR. Baihaqi).

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : 

”Sesuatu doa terdinding (terhalang) sehinggalah seseorang yang berdoa berselawat kepada Nabi SAW. “
(HR At-Thabraani)

Dengan berselawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.

9. Berbuat Kebajikan Dan Membantu Orang Yang Lemah.

Nabi SAW bersabda maksudnya : 

“Carilah untukku orang-orang lemah kerana hanya kita diberi rezeki dan dibantu sebab orang-orang lemah dari kalangan kamu.” (HR. Muslim Ahmad, Ibnu Hibban, dan Hakim).

Ibnu Abbas berkata:

“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Bersedekah Waktu Pagi Dapat Meredakan Murka Allah SWT, Menarik Rezeki Dan Menolak Bala.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Apabila kamu telah selesai solat subuh janganlah kamu tidur tanpa mencari rezeki.” (Hadis Riwayat Tabrani)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Pergilah awal pagi untuk mencari rezeki dan keperluan kerana pagi membawa keberkatan dan kejayaan.” (HR. Thabrani).

Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu Abbas) telah melihat anaknya tidur pada waktu Subuh. Maka dikatakan kepada anaknya, “Bangun! Apakah kamu tidur pada waktu rezeki dibahagi-bahagikan Allah SWT?”

11. Menjaga Hubungan Silaturrahim.

Nabi SAW bersabda maksudnya : 

“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya (menjalini silaturahim)” (HR. Bukhari).

12. Sentiasa Dalam Keadaan Berwuduk.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah SWT akan memurahkan rezeki.” (HR. Tirmidzi)

13. Banyakkan Membantu Dan Melapangkan Kesusahan Orang Lain.

Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam maksudnya : “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (HR. ad-Daruquthni)

14. Menghormati Dan Melayan Tetamu Dengan Baik.

Nabi SAW berwasiat kepada Saidina Ali k.wj. maksudnya :

 “Wahai Ali ! Anjurkanlah berbuat baik kepada mereka yang sedang ceria wajahnya. Dan hormatilah tetamu sebab rezeki tetamu yang singgah kerumah seseorang pun ikut singgah di situ. Dan kalau ia meninggalkan rumah itu, dosa penghuni rumah itu lenyap bersama kepergian tetamu tersebut. Lalu terhapuslah dosa-dosa itu jauh ditengah lautan.” (HR. Abu Daud).

15. Amalan Solat Dhuha.

Firman Allah SWT dalam hadis qudsi yang bermaksud : “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Duha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (HR. al-Hakim dan Thabrani).

16. Mensyukuri Segala Nikmat Pemberian Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam Surah Ibrahim, ayat 7:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Ertinya:
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras".

17. Mengamalkan Ayat-ayat Tertentu Dalam Al-Qu'ran Yang Mempunyai Fadhilat Dalam Meluaskan Rezeki.

Ada riwayat menjelaskan : “Mereka yang mengamalkan membaca Surah Al-Waqi’ah pada tiap-tiap malam, insya Allah tidak akan merasai kepapaan”.

Rasulullah S.A.W. juga bersabda maksudnya : “Surah Yaasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan “Al-Mu’ammah” (yang umum), yang mengumumkan pembacanya dengan kebaikan dunia dan akhirat, menanggung segala bala baik dari kesusahan di dunia mahu pun akhirat. Pembaca juga akan dilindungi dari setiap keburukan dan kejahatan serta segala hajat dan kemahuan akan Allah kabulkan. Jika dibaca dalam satu malam semata-mata mengharapkan keredaan Allah, nescaya Allah akan mengampunkan dosanya.. (HR Malik, dan Ibnu Hibban).

Mengamalkan membaca surah at-Talaq ayat 2-3 (dipanggil ayat 1000 dinar).

Firman Allah SWT maksudnya : “Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Talaq ayat2-3)

Antara fadilatnya ialah mendapat rezeki yang tidak disangka bahkan memperoleh rezeki menurut jalan yang tidak pernah terfikir, melenyapkan segala bentuk kesusahan serta dijauhkan daripada keraguan dan kesusahan maut.

Menurut banyak riwayat, sebab ayat seribu dinar diturunkan Allah adalah kerana peristiwa berkaitan seorang sahabat bernama Auf bin Malik al-Asyja’i yang mempunyai anak lelaki ditawan kaum Musyrikin. Beliau mengadu perkara itu kepada Rasulullah SAW dan Baginda meminta Auf supaya bersabar sambil bersabda kepadanya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan memberi jalan keluar kepadamu.” Ternyata tidak lama selepas itu anaknya dilepaskan daripada tawanan pihak musuh dan dalam perjalanan ia terserempak seekor kambing kepunyaan musuh lalu dibawanya kambing itu kepada ayahnya. Kemudian turunlah ayat yang bermaksud: “Siapa yang bertakwa kepada Allah, Dia menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka dan tidak terfikir sebelumnya.” (Hadis riwayat Ibnu Jarir)

18. Memperbanyakkan Berdoa Kepada Allah SWT.

Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke masjid lalu terserempak seorang yang dipanggil Abu Umamah. Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Wahai Abu
Umamah, aku lihat engkau duduk di masjid bukan pada waktu solat, kenapa?”

Jawab Abu Umamah: “Dukacita dan hutang menyelubungiku, wahai Rasulullah!”

Jawab Rasulullah: “Mahukah kamu aku ajarkan suatu bacaan jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.”

Abu Umamah menjawab: “Ya, wahai Rasulullah.”

Baginda bersabda: “Apabila tiba waktu pagi dan petang bacalah:

“Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada dukacita dan rasa sedih; aku berlindung denganMu daripada lemah dan malas; aku berlindung denganMu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan aku berlindung denganMu daripada bebanan hutang dan penindasan orang.”

Kata Abu Umamah: “Aku membaca doa tersebut, lalu Allah menghilangkan rasa dukacitaku dan melangsaikan hutangku.” (HR Abu Daud).

19. Berusaha Dengan Bersungguh-sungguh Keluar Dari Rumah Untuk Mencari Rezeki.

Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisa, ayat 100:

وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً.

Ertinya:
"Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur".

Sebenarnya Allah sudah memberi kita pakej yang cukup lengkap kepada kita untuk berjaya dalam perkara-perkara yang telah ditetapkan untuk kita, ini adalah sunnatullah, siapa yang gigih berusaha akan terbukalah jalan-jalan mencari rezeki baginya dengan mudah kerana keluar rumah mencari rezeki juga dikira sebagai berhijrah dijalan Allah.

20. Bertawakkal Hanya Kepada Allah SWT.

Berserah diri dalam hidup semata-semata hanya kepada Allah SWT setelah berusaha, maksud firman Allah SWT dalam surah At-Talaq, ayat 3:

 وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبه

Ertinya:
 “Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” 

Nabi SAW bersabda maksudnya : 

“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah SWT dengan sebenar-benar tawakkal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (HR.  Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim)

Saudaraku sekalian,  Mari kita menghayati beberapa panduan dan amalan-amalan di atas sebagaimana di nyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW jalan-jalan untuk mendapatkan rezeki yang berkat daripada Allah SWT. Pastikan rezeki yang kita cari adalah rezeki yang halal dan bersih daripada perkara-perkara yang haram dan subahat. Kerana setiap ringgit wang yang kita perolehi akan ditanya dihari akhirat kelak.

Ya Allah bukakanlah pintu rezeki yang Engkau berikan kepada kami,  serta mudahkanlah jalan untuk mencarinya.   Mudah-mudahan rezeki yang Engkau karuniakan kepada kami, dapat membawa keberkatan dalam hidup kami di dunia dan di akhirat.  Aamiinn Yaa Robbal 'Aalamiin !!!!!

Wallahu A'lam. 
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat. 
Wassalam USM. (Ustaz Sihabuddin Muhaemin).

Catatan:
ILMU ITU MILIK ALLAH SWT UNTUK DISEBARKAN. 
Sila KONGSIKAN Dengan Sesama SAUDARA  KITA. 
Mudah-Mudahan bermanfaat Untuk Semua.
Di Dunia Dan Di Akhirat Nanti. Insya-Allah. Aamiinn !!!!!

Kritik Dan Saran Yang Membina Sangat Dialu-alukan. 
Sila tlp/sms kami, USM (012-6653988). 
Atau layari laman facebook:
http://www.facebook.com:
USM - Sihabuddin Muhaemin.

TERIMA KASIH.  
(Vietnam,  Ahad 1 Jamadil Akhir 1436 H).