KISAH BAJU RAYA ANAK PEMERINTAH ISLAM

Suatu hari anak Khalifah Umar Al-Khattab r.a pulang dari kelas pengajian sambil menangis teresak-esak. 

Ketika ditanya oleh ayahnya, ia menjawab bahawa teman-teman di tempat pengajiannya menghina bajunya yang penuh dengan tampalan (baju yang bertampal-tampal).

Di antara mereka mengatakan : “Hai kawan-kawan, perhatikan berapa jumlah tampalan baju budak ini..." 
Ia menjadi bahan ketawa teman-temannya sehingga membuat hatinya teramat sedih...

Kehidupan seharian keluarga pemerintah Islam Khalifah Umar memang sangat sederhana.

Walaupun berjawatan sebagai Khalifah (pemimpin negara), tampalan di bajunya ada empat belas tampalan.

Salah satunya ditampal dengan kulit kayu.

Tibalah suatu hari apabila Saidina Umar Al-Khattab r.a berhajat untuk membelikan pakaian baru untuk anaknya di bulan Syawal (Hari Raya)

Kerana ketiadaan wang, pergilah Saidina Umar r.a ke Baitulmal untuk meminjam beberapa dirham untuk membeli pakaian tersebut. 

Kerana tidak bertemu dengan Bendahara Baitulmal, beliau meninggalkan sepucuk surat, isinya seperti berikut :

“Kepada Bendahara Baitulmal yang saya hormati...

Saya memohon pinjaman sebanyak empat dirham. Insya'Allah pada awal bulan depan, setelah pembahagian gaji dari Baitulmal, saya akan bayar balik dengan kadar segera..”

Tuan Bendahara tidak cepat-cepat mengambil wang dari Baitulmal untuk dikirimkan kepada Khalifah.

Sebaliknya dia mengamati isi surat itu lama-lama...

Dia mengetahui bahawa pemimpinnya itu bukan jenis penguasa yang memanfaatkan amanah rakyat untuk kepentingan peribadinya.

Tuan Bendahara Baitulmal menjawab surat Khalifah dalam bentuk sebuah pertanyaan...

"Kepada Amirul-Mukminin Umar bin Al-Khattab,

Telah saya baca surat Tuan tentang permohonan pinjaman dari wang Baitulmal. 

Saya sekadar ingin bertanya, apakah Tuan berani JAMIN bahawa diri Tuan masih hidup sampai awal bulan depan sehingga saya dapat menuntut hutang Baitulmal dari Tuan? 

Seandainya ajal menjemput Tuan sebelum awal bulan, apakah Tuan mampu mempertanggungjawabkannya di hadapan الله ? 

Wassalam..”

Selesai membaca surat balasan dari Pejabat Baitulmal, Khalifah Umar merasa amat sedih kerana tidak mampu menunaikan hajatnya untuk membeli baju baru untuk anaknya.

Setibanya Hari Raya, Umar Al-Khattab r.a melihat anaknya memakai baju yang bertampal-tampal dan beliau terus menangis.

“Mengapa engkau menangis, wahai ayahku?” tanya anaknya.

Umar r.a menjawab : 

“Aku bimbang hatimu sedih di Hari Raya apabila kawan-kawanmu menghina bajumu yang bertampal-tampal itu.”

Kemudian anaknya berkata : “Seharusnya yang harus bersedih itu ialah orang yang tidak mendapat keredhaan الله dan menderhakai kedua orang tuanya. 

Sesungguhnya aku berharap agar الله Azza wa Jalla memberikan redha-Nya kepadaku sebab keredhaanmu kepadaku..”

Semakin deras air mata Khalifah Umar mengalir apabila mendengar kata-kata anaknya dan beliau terus memeluknya dan mendoakannya.

Begitulah sifat pemimpin yang kita idam-idamkan.