Jerebu

Seharian di Shah Alam dengan asap jerebu yang menyesakkan sistem pernafasan.
.
Teringat pada ucapan himpunan mingguan (khutbah jumaat) oleh khatib di Masjid As-Solihin Padang Jawa pada 18 September yang lalu, "Kita sibuk mencari siapakah yang bertanggungjawab membakar hutan di Indonesia akan tetapi kita tidak menghiraukan siapakah yang mengawal angin membawa asap hingga ke Malaysia, siapakah yang menentukan bencana, siapakah yang berkuasa ke atas setiap ketentuan; iaitu Allah swt". Khatib yang menyampaikan khutbah tanpa teks tersebut juga mengaitkan suasana semasa dengan peristiwa yang tercatit dalam Surah Ad-Dukhan (Surah Asap). "Jerebu adalah bala daripada Allah dan bukan sekadar fenomena alam biasa", ayat-ayat tersebut masih lagi segar walaupun setelah 9 hari.
.
Sukar untuk diterima, namun hakikatnya manusia masa kini (khususnya umat Islam) semakin jauh dari cara hidup sebenar (Islam). Dari sudut Sains dan ilmu pengetahuan yang berfokuskan fakta sebab dan akibat, memang tidak dinafikan asap jerebu tebal disebabkan pembakaran hutan luas dan terbuka seterusnya Malaysia turut menerima kesan jerebu diakibatkan oleh pergerakan angin. Dari sudut pandang ilmu pengetahuan tersebut, amat mudah untuk kita terus menyalahkan mereka yang bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan tersebut.
.
Namun demikian, tidaklah lengkap ilmu pengetahuan tanpa ilmu pengenalan. Bertepatan dengan pandangan Syed Naquib al-Attas terhadap ilmu yang perlu dilengkapi dengan husul (tiba makna dalam diri) dan wusul (tiba diri pada makna), umat manusia beruntung kerana dapat  al-Quran, "kitab yang tiada keraguan padanya" (2:2), sebagai sumber utama dalam menghadirkan diri pada makna.
.
Berbalik kepada konteks ilmu pengenalan mengenai jerebu, kejadian ini merupakan satu bala, ancaman dan peringatan dari Allah azza wa jalla. Ucapan ceramah daripada Almarhum Ustaz Fadzil Noor pada 2 dekad lepas antara teks mengenai bala jerebu yang popular dikongsi di internet. Beliau yang dalam ucapannya telah menghuraikan kisah kaum terdahulu di dalam Surah ad-Dukhan, turut menyimpulkan kejadian jerebu berpunca daripada kemaksiatan dan kederhakaan manusia dalam menuruti perintah Allah.
.
Justeru, kita seharusnya saling menasihati dan mengingati untuk kembali kepada cara hidup Islam dari segala aspek termasuk kemasyarakatan, politik, perundangan dan kewangan.
.
Adakah kita yakin mengikuti Islam andai fitnah/syak/mengumpat menjadi buah mulut dan andai status/pangkat/bangsa menjadi penghalang silaturrahim? 
Adakah politik kita menepati Islam andai khianat dan pecah amanah menjadi kebiasaan serta penipuan menjadi perkara halal? 
Adakah perundangan kita mengikuti syariat Allah andai hukum Islam tidak digazetkan dan andai terdapat golongan yang kebal daripada perundangan? 
Adakah kewangan kita menuruti Islam sepenuhnya jika melakukan transaksi dengan perusahaan patuh syariah tanpa menggunakan matawang dinar?
.
.
(Mereka tidak meyakini kebenaran yang dijelaskan kepada mereka), bahkan mereka masih tenggelam dalam keraguan sambil bermain-main dengan perkara agama. Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat), Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata: Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan. (Pada saat itu mereka akan merayu dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Hapuskanlah azab ini dari kami, sesungguhnya kami akan beriman!. [Ad-Dukhan 44:9-12]
.
Jerebu bukan hanya bala, ia juga sebagai peringatan. Andai kita tidak mengambil iktibar, tunggulah saat jerebu yang berlarutan sehingga 40 hari.