5 KEBERKATAN YANG UTAMA DALAM KEHIDUPAN MANUSIA.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين و على آله وصحبه اجمعين. أما بعد:

TAZKIRAH HARI INI UNTUK RENUNGAN BERSAMA.   
(Shah Alam, Rabu 22 April 2015).
 
5 KEBERKATAN YANG UTAMA DALAM KEHIDUPAN  MANUSIA.

Berkat ( Barakah ) adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud berkembang dan kebaikan. Secara umumnya kita boleh menyatakan maksud berkat ( barakah ) disini adalah memohon restu dari pada Allah SWT agar dikurniakan kebaikkan yang berkembang biak . 

Berkat ini datangnya dengan keizinan Allah SWT. Jika seseorang itu memohon Allah SWT agar memberkati rezekinya , maka jika Allah SWT kehendaki, dia akan memberi berkat kepada seseorang itu.

Firman Allah SWT dalam Surah Maryam ayat 31:

وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنتُ وَأَوْصَانِي بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ مَا دُمْتُ حَيًّا

Ertinya:
"dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada, dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) shalat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup". (Q.S. Maryam : 31)

Allah SWT adalah al-Mubaarik ( pemberi restu / berkat ) dan hamba-Nya adalah al-Mubaarak; seseorang yang diberkati sebagaimana yang dinyatakan didalam ayat diatas. 

Sifat memberi berkat ini hanyalah mutlak milik Allah SWT , Berkat Allah SWT dimana sahaja Dia letakkan.

 firmannya  Allah SWT dalam Surah Qaf, ayat 9:

وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُّبَارَكًا فَأَنبَتْنَا بِهِ جَنَّاتٍ وَحَبَّ الْحَصِيدِ

Ertinya:
"Dan Kami turunkan dari langit air yang banyak manfaatnya lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pohon-pohon dan biji-biji tanaman yang diketam". (Q.S. Qaaf : 9).

Allah SWT bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang. tanda Allah SWT kasih kepada hamba-hamba-Nya adalah Allah SWT memberi pertolongan, rahmat dan keberkatan dalam kehidupan . Terdapat lima keberkataan kurniaan Allah SWT diberikan-Nya kepada hamba -hamba yang dikasihi-Nya iaitu

1. Keberkatan pada umur.,
2. Keberkatan pada kehidupan berkeluarga.
3. Keberkatan pada rezeki.
4. Keberkatan pada berjemaah.
5. Keberkatan pada ilmu.

Tanda-tanda keberkataan manusia dalam hidup yang utama itu ada lima perkara iaitu :

1. Keberkatan Pada Umurnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: " Sebaik-baik manusia menurut pandangan Allah (Islam) ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula perbuatannya, sedang seburuk-buruk manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi buruk pula perbuatannya" (HR.  Ahmad dan al-Hakim).

Berdasar kepada hadis tersebut apa yang dapat kita simpulkan bahawa amalan yang baik yang menjadi fokus kepada nilai disisi Allah SWT. Sekiranya kita diberi peluang untuk hidup lama di muka bumi ini, tetapi kita tidak memanfaatkan untuk kebaikan hidup di dunia dan bekalan akhirat ia adalah sia-sia. 

Tetapi sekiranya kita menggunakan peluang umur yang panjang itu untuk berbuat baik ia mendapat tempat terbaik disisi Allah. Inilah maksud umur yang diberkati Allah SWT. Sebaiknya pula jika seseorang memiliki umur panjang sedangkan kejahatannya melebihi kebaikannya ini bermakna tidak ada keberkatan pada umurnya dan bersiap sedialah untuk memasuki Neraka.

Sabda Nabi SAW.

Salah satu keistimewaan usia 40 tahun tercermin dari sabda Rasulullah SAW:

العَبْدُ الْمُسْلِمُ إِذَا بَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً خَفَّفَ اللهُ تَعَالَى حِسَابَهُ ، وَإِذَا بَلَغَ سِتِّيْنَ سَنَةً رَزَقَهُ اللهُ تَعَالَى الْإِنَابَةَ إِلَيْهِ ، وَإِذَا بَلَغَ سَبْعِيْنَ سَنَةً أَحَبَّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ ، وَإِذَا بَلَغَ ثَمَانِيْنَ سَنَةً ثَبَّتَ اللهُ تَعَالَى حَسَنَاتِهِ وَمَحَا سَيِّئَاتِهِ ، وَإِذَا بَلَغَ تِسْعِيْنَ سَنَةً غَفَرَ اللهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ وَشَفَّعَهُ اللهُ تَعَالَى فِى أَهْلِ بَيْتِهِ ، وَكَتَبَ فِى السَّمَاءِ أَسِيْرَ اللهِ فِى أَرْضِهِ – رواه الإمام أحمد

Ertinya:
"Seorang hamba muslim bila usianya mencapai empat puluh tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya). Jika usianya mencapai enam puluh tahun, Allah akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepada-Nya. Bila usianya mencapai tujuh puluh tahun, para penduduk langit (malaikat) akan mencintainya. Jika usianya mencapai delapan puluh tahun, Allah akan menetapkan amal kebaikannya dan menghapus amal keburukannya. Dan bila usianya mencapai sembilan puluh tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan dosa-dosanya yang belakangan, Allah juga akan memberikan pertolongan kepada anggota keluarganya, serta Allah akan mencatatnya sebagai “tawanan Allah” di bumi".  (H.R. Ahmad)

2. Keberkatan Dalam Hidup Berkeluarga.

Keluarga yang berkat adalah keluarga yang memiliki ketenangan dan kebahagiaan. Sentiasa rukun damai dan lahir kasih sayang di antara suami, isteri dan anak-anak. Saling nasihat menasihati, hormat menghormati dan percaya mempercayai. di antara satu sama lain.

Sikap rahmah ( kasih sayang ) kepada pasangan hidup dan anak-anak merupakan tulang belakang keharmonisan keluarga. Rasulullah SAW .memangil Aisyah dengan panggilan yang memanjakan, dengan gelar yang menyenangkan hati. Bahkan baginda membolehkan seseorang berdiplomasi kepada pasangan hidupnya dalam rangka membangun kasih sayang.

Suami atau isteri harus mampu menampilkan pribadi yang dapat menimbulkan rasa tenteram, senang,  kerinduan. Ingat, di atas rasa kasih sayanglah pasangan suami istri dalam keluarga dapat melayari bahtera kehidupan dengan aman dan damai.

Keluarga yang diberkati Allah SWT. akan melahirkan ciri-ciri Baitul Muslim dalam keluarga tersebut dan keluarga yang tidak mendapat keberkataan melahirkan pergolakkan dan perselisihan samaada di antara suami isteri dan juga di antara ibu bapa kepada anak-anaknya. Oleh itu jadikanlah Islam sebagai panduan hidup berkeluarga barulah mendapat rahmat ,ketenangan dan keberkatan daripada Allah SWT.

3. Keberkatan Pada Rezeki.

Rezeki yang berkat adalah rezeki yang diperolehi daripada sumber-sumber yang halal. Dan digunakan pula rezeki tersebut untuk kebaikan dan di jalan Allah SWT

Apabila kita mensyukuri rezeki Allah SWT maka Allah SWT akan memberkati hidup kita dan Dia akan memberi tambahan rezeki dijalan yang tidak disangka-sangka.

Rasulullah SAW.  bersabda yang maksudnya:
“ Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang. ”  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Setiap Mukmin hendaklah mempunyai sifat qanaah iaitu redha dan menerima apa yang ada tanpa banyak menuntut perkara yang bukan keperluannya. Lawan bagi sifat qanaah ialah tamak yang menjadikan seseorang itu sentiasa cemburu dan dengki dengan rezeki yang diperolehi oleh orang lain. Salah satu cara untuk menanamkan sifat qanaah kepada diri dan keluarga ialah dengan sentiasa mengucapkan ‘alhamdulillah’ di atas setiap perbuatan atau perkara baik yang diterima.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  
"Tiada seorangpun yang berdo'a kepada Allah dengan suatu do'a, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperolehi salah satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan do'anya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah yang serupa.” (HR. at-Tabrani).

Rezeki adalah ketentuan Allah SWT . Untuk menambah keberkatannya hendaklah membiasakan diri dengan sifat pemurah dan tidak bakhil untuk bersedekah kepada orang lain kerana hal ini akan memberikan ketenangan kepada diri malah akan lebih disayangi oleh masyarakat kerana sesungguhnya, harta yang kita miliki terdapat hak-hak orang lain di dalamnya yang wajib kita tunaikan. Kekayaan yang sejati adalah kekayaan iman yang tercermin dari kesederhanaan hidupnya dan kesederhanaan itu tercermin dari sifatnya yang qanaah.

Kita sering mendengar berita orang kaya rezekinya melimpah ruah tetapi hidup keluarganya porak peranda, anak-anaknya menjadi penjenayah dan penceraian berlaku di antara suami istari. Ini menunjukkan tidak ada keberkatan rezeki yang mereka perolehi ada sesuatu yang tidak kena maka berlakulah keadaan seperti ini.

Kita juga mendengar suatu keluarga yang pendapatannya kecil menanggung anak-anak yang ramai tetapi anak-anaknya menjadi insan yan berakhlak mulia dan berjaya di dalam kerjaya dan kehidupan. Ini menunjukkan ada keberkatan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : 

"Allah telah berfirman, “ telah berfirman Allah SWT kepada malaikat pembahagi ( pengedar ) rezeki kepada bani Adam: mana satu hamba-Ku yang kamu temui menujukan harapannya kepada Aku semata, maka jaminkanlah rezekinya langit dan bumi. Dan mana satu hamba-Ku yang kamu temui sedang mencari rezekinya, sesungguhnya dia sedang menuntut keadilan, maka lorongkanlah jalan-jalannya tetapi jika dia menuntut selain dari itu, maka biarkanlah antara mereka dengan apa yang mereka tuntut itu, kelak mereka tidak akan memperolehi lebih daripada apa yang telah Aku tentukan untuk mereka itu.” (HR. Abu Naim).

4. Keberkatan Hidup Berjemaah/Bermasyarakat.

Hidup kita di dunia ini tidak boleh berseorangan kita perlu kepada berjemaah. Hidup berjemaah akan membawa keberkatan sedangkan hidup tanpa jemaah akan membawa kepada kehancuran.

Daripada Huzaifah r.a berkata : 
“ Orang-orang Islam yang lain bertanya Rasulullah SAW tentang kebaikan dan saya bertanya Rasulullah tentang kejahatan, kerana saya bimbang ( takut ) saya terjatuh kedalam kejahatan, lalu saya berkata kepada Rasulullah SAW , :“ Ya Rasulullah , kami sesungguhnya berada di dalam keadaan jahiliah dan kejahatan, tetapi Allah hantarkan kebaikan, apakah ada selepas kebaikan ini kejahatan? ”

Rasulullah SAW menjawab : “ Ya ada ”
Kemudian saya bertanya lagi, “ Apakah selepas kejahatan ini ada kebaikan? ”
Rasulullah SAW menjawab “ Ya ada, tetapi di dalamnya ada dakhan ”
Kemudian saya bertanya kepada Rasulullah SAW “ Apakah dakhan itu?”
Rasulullah SAW menjawab “ Yang di maksudkan dakhan itu adalah suatu kaum yang mengambil suatu peraturan lain dari Sunnahku dan mengambil Petunjuk lain dari Petunjukku, kamu kenal mereka maka hendaklah kamu tolak mereka.”
Saya bertanya lagi : Adakah selepas itu (kebaikan), ada lagi kejahatan?”
Rasulullah SAW menjawab : “ Ya ada, iaitu pendakwah (penyeru) yang berada di tepi jurang neraka, siapa yang menyahut seruan mereka akan di campakkan kedalam neraka”
Saya bertanya : “ Wahai Rasulullah, apakah perintahmu jika saya sampai pada masa itu ( iaitu masa penyeru-penyeru yang menyeru di tepi jurang neraka )"
Rasulullah SAW menjawab : “ Hendaklah kamu duduk bersama-sama Jemaah Muslimin dan ikut imam mereka". (HR. Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Hidup kita akan mendapat keberkatan jika kita duduk di dalam jemaah. Rasulullah dan sahabat-sahabat baginda hidup bersama jemaah Islam yang dibentuk oleh baginda. Di dalam jemaah inilah berlakunya proses tarbiyah imaniah berjalan hingga melahirkan satu generasi umat Islam yang paling baik dalam sejarah manusia. Hasil dari jemaah ini melahirkan Daulah Islamiyah yang mendaulatkan hukum-hukum Allah SWT .Berjemaah membawa berkat dan perpecahan membawa azab.

5. Keberkatan Pada Ilmu.

Ilmu yang bermanfaat secara mutlak di dunia dan akhirat adalah ilmu syar’i ( ilmu Islam ). ilmu yang pengamalnya yang diikhtiraf oleh Allah SWT. dan Rasulullah SAW.  

Ilmu ini adalah seperti yang diungkapkan oleh Imam Asy-Syatiby di dalam kitab Al Muwafaqot, “ Ilmu yang muktabar menurut syara ’ adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal, yang tidak membiarkan pemiliknya mengikuti hawa nafsunya bagaimanapun ia, bahkan ia mengikat pengikutnya dengan ilmu tersebut, yang membawa pemiliknya mematuhi aturan-aturannya suka atau tidak suka ”.

Mengenai ilmu pengetahuannya yang bermanfaat kepada orang lain. Dengan kata lain, segala ilmu yang dapat memberikan manfaat kepada orang lain dan dapat menambahkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. 

Maka selama ilmu itu masih dipelajari, selama itulah orang yang mengajarkannya pada peringkat permulaan itu akan mendapat pahala yang berterusan yang akan dimasukkan ke dalam catitan amalan kebajikannya. 

Antara lain, seperti apabila seseorang yang mengarang kitab untuk rujukan orang lain, maka selagi kitabnya dapat memberikan manfaat kepada orang lain, maka Allah SWT akan mengurniakan ganjaran dan pahala yang berterusan kepada pengarang kitab tersebut.

Ilmu yang berkat adalah ilmu yang dapat difahami, dilaksanakan dan disampaikan pada orang lain. Ilmu yang berkat juga akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. 

Marilah sama-sama kita muhasabah balik pada diri kita kenapakah sering kita mengalami kerisauan, jiwa sentiasa tidak tenang dan tekanan hidup yang semakin meningkat. Jika kita kaji pasti kita akan dapat jawapannya iaitu tidak wujud keberkatan dalam hidup kita. Iaitu tidak ada keberkatan pada umur, hidup berkeluarga, rezeki , berjemaah dan pada ilmu kita.  

Oleh itu perlulah kita kembali kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya insya Allah rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT akan kita perolehi dalam hidup kita. Aamiinn Yaa Robbal 'Aalamiin !!!!!

Wallahu A'lam. 
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat. 
Wassalam USM. (Ustaz Sihabuddin Muhaemin).

Catatan:
ILMU ITU MILIK ALLAH SWT UNTUK DISEBARKAN. 
Sila KONGSIKAN Dengan Sesama SAUDARA  KITA. 
Mudah-Mudahan bermanfaat Untuk Semua.
Di Dunia Dan Di Akhirat Nanti. Insya-Allah. Aamiinn !!!!!
Kritik Dan Saran Yang Membina Sangat Dialu-alukan. 
Sila tlp/sms kami, USM (012-6653988). 
Atau layari laman facebook:
http://www.facebook.com:
USM - Sihabuddin Muhaemin.

TERIMA KASIH.   
(Shah Alam, Rabu 3 Rejab 1436 H).