7 CIRI UTAMA AJARAN DALAM ISLAM.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين و على آله وصحبه اجمعين. أما بعد:

TAZKIRAH HARI INI UNTUK RENUNGAN BERSAMA.   
(Shah Alam ,  April 2015).

 7 CIRI UTAMA AJARAN DALAM ISLAM.

Agama Islam merupakan agama Samawi (agama langit) iaitu agama Allah SWT yang disampaikan melalui lisan Rasulullah SAW. Yang merupakan agana yang paling sempurna nilai ajarannya yang disampaikan kepada kita. 
Hal ini sisebutkan di dalam al-Qur'an, Surah Al-Maidah, ayat 3:

 الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًاٌ

Ertinya:
"Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu". 

Pada masa yang sama,  umat Islam merupakan umat yang terbaik yang di jadikan Allah SWT di atas muka bumi ini. Kehebatan islam itu terletak pada 2 faktor penting iaitu:
a. Ajarannya. 
b. Umatnya.

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali-Imran, ayat 110:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Ertinya:
"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik".

Dalam ajaran Islam terdapat  ciri-ciri utama yang menjadikan agama Islam begitu istimewa dan tetap relevan untuk memandu kehidupan umat manusia sepanjang zaman.

Secara umumnya, ciri-ciri utama dalam agama Islam boleh disimpulkan kepada beberapa ciri yang penting seperti  berikut:

1. Ketuhanan (Rabbaniyyah).
2. Lengkap (Syumuliyyah).
3. Realistik (Waqi’iyyah).
4. Sejagat (‘Alamiyyah).
5. Tetap tetapi anjal (Al-Thabat wa Al-Murunah).
6. Seimbang (Al-Tawazun).
7. Sederhana (Wasatiyyah).

Keterangannya:

1. RABBANIYYAH (KETUHANAN). 

Bermaksud segala hukum-hakam, konsep, prinsip, nilai dan peraturan hidup yang terdapat dalam ajaran Islam adalah secara mutlak datangnya daripada Allah SWT. 

Di antara prinsip-prinsip Rabbaniyyah ialah:

A. Islam adalah agama wahyu yang datangnya daripada Allah SWT, bukan ciptaan makhluk (Nabi Muhammad SAW). 
B. Islam bersih daripada kekurangan, kejahilan dan dorongan hawa nafsu.
C. Islam dan seluruh makhluk adalah kepunyaan Allah.
D. Allah SWT sebagai pemberi peraturan hidup.

Berpegang dengan Syariah 'Rabbaniyyah' ini adalah sumber kebahagiaan diri, jika sekiranya manusia itu berpegang dengan hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah SWT, Pemilik langit dan bumi, berusaha untuk mencapai keredhaan-Nya dan beriman bahawa semua yang terkandung di dalam agama ini adalah datang dari Allah SWT dan untuk Allah SWT.

2. SYUMULIYYAH (MENYELURUH).

Bermaksud ajaran Islam adalah sempurna dan bersifat menyeluruh yang mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia.

Di antara prinsip-prinsip syumuliyyah ialah:

a. Kesempurnaan itu hanya milik Allah SWT.
b. Islam menyediakan peraturan hidup yang mencakupi segenap aspek kehidupan.
c. Al-Quran merupakan sumber utama yang mencakupi semua bidang ilmu pengetahuan.
d. Segala peraturan yang dibawa oleh Islam adalah sesuai dengan fitrah manusia.
e. Peraturan dan perundangan Islam adalah seimbang dan memudahkan.

3. WAQI’IYYAH (PRAKTIKAL).

Bermaksud agama Islam bersifat praktikal dan sesuai diamalkan dalam kehidupan seharian manusia. 

Di antara prinsip-prinsip waqi’iyyah ialah:

A. Ajaran Islam adalah praktikal, bukan utopia.
B. Islam mampu menyelesaikan sebarang masalah dan persoalan manusia dalam hidup.
C. Islam memberi ruang kepada perkembangan fikiran yang melahirkan tamadun ilmu.

4. ‘ALAMIYYAH (MENYELURUH/SEJAGAT).

Bermaksud Islam adalah ajaran agama yang sesuai kepada semua manusia tanpa mengira bangsa, tempat dan zaman. 

Di antara prinsip-prinsip ‘alamiyyah ialah:

A. Islam memuliakan manusia.
B. Nilai keadilan Islam bersifat sejagat.Islam sentiasa menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran.
C. Islam menjamin hak asasi manusia.
D. Islam sentiasa mengutamakan keamanan dan perdamaian.

5. AL-THABAT WA AL-MURUNAH (ANJAL)

Bermaksud Islam itu thabat (tetap), tetapi pada waktu yang sama, ia murunah (fleksibel). Ianya keras tetapi boleh dilembutkan, tegap tetapi boleh dilentur, tidak berubah tetapi boleh disesuaikan.

Bentuk-bentuk  al-thabat wa al-murunah dapat disimpulkan seperti berikut:

A. Kemantapan Islam adalah pada tujuan dan matlamatnya. 
B. Kelenturan pula pada pendekatannya. 
C. Tegap pada prinsip asal dan hukum-hukum qat’inya, tetapi lembut pada ranting dan cabangnya.
D. Kukuh dan istiqamah pada urusan dengan Allah SWT, lunak dan boleh disesuaikan pada urusan keduniaan.

6. AL-TAWAZUN (SEIMBANG).

Bermaksud ajaran Islam tidak berat sebelah. Ia mempunyai pertimbangan dan keseimbangan yang amat sesuai dengan kehidupan manusia. 

Antara bentuk-bentuk  al-tawazun dapat dilihat pada keseimbangan dalam perkara-perkara berikut:

A. Seimbang antara dunia dan akhirat.
B. Seimbang antara roh dan jasad.
C. Seimbang antara hak pemimpin dan rakyat.
D. Seimbang antara hak individu dan jamaah.
E. Seimbang pada tegahan dan perintah.
F.  Seimbang pada penciptaan semesta alam.

7. AL-WASATIYYAH (SEDERHANA).

Bermaksud Islam adalah agama yang sederhana dan menitik beratkan kesederhanaan. Umat Islam juga adalah umat yang sederhana dan umat pertengahan.

Kesederhanaan Islam dapat dilihat dengan jelas dalam pelbagai sudut terutamanya pada akidahnya, syariatnya, syi'arnya dan malah pada ibadatnya. 

Ia menolak sebarang bentuk ekstrimisme, sama ada yang terlampau ketat dalam melaksanakan agama, mahupun yang terlampau longgar sehinggakan mengabaikan ajaran agama itu sendiri.

Mudah-Mudahan kita dijadikan sebagai hamba Allah SWT yang terbaik dan dapat melaksanakan semua ajaran Islam dengan baik. Untuk meraih Redho Allah SWT. Aamiinn Yaa Robbal 'Aalamiin !!!!!

Wallahu A'lam. 
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat. 
Wassalam USM. (Ustaz Sihabuddin Muhaemin).

Catatan:
ILMU ITU MILIK ALLAH SWT UNTUK DISEBARKAN. 
Sila KONGSIKAN Dengan Sesama SAUDARA  KITA. 
Mudah-Mudahan bermanfaat Untuk Semua.
Di Dunia Dan Di Akhirat Nanti. Insya-Allah. Aamiinn !!!!!

Kritik Dan Saran Yang Membina Sangat Dialu-alukan. 
Sila tlp/sms kami, USM (012-6653988). 
Atau layari laman facebook:
http://www.facebook.com:
USM - Sihabuddin Muhaemin.

TERIMA KASIH.  
(Shah Alam,  Isnin 16 Jamadil Akhir 1436 H).