عَنْ حَفْصِ بْنِ عَاصِمٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
Daripada Hafsh bin ‘Ashim, dari Abu Hurairah RA, dari *Nabi SAW;* baginda bersabda:
*“Cukup seseorang dikatakan dusta, jika dia menceritakan segala apa yang dia dengar.”*
(HR. Muslim no. 5).
Status: *Hadith Sahih*
*Pengajaran:*
1. *Dusta* ialah memberitahu kepada orang ramai satu berita atau satu cerita yang tidak betul. Apabila dia membaca atau dia mendengar sesuatu maklumat, tanpa siasat dan tanpa bukti, dia terus menyampaikan kepada orang malah mungkin ada tambah menambah, bagi menyedapkan cerita.
2. Setiap kita perlu berhati-hati sebelum kita menceritakan atau menyebar sesuatu maklumat yang diterima. Ambil sikap tawaqquf (diam hingga ada dalilnya) itu lebih baik dari berlumba-lumba menjadi orang pertama yang menyampaikan.
3. Imam Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim ketika menjelaskan hadith ini menyatakan:
*"Seseorang boleh dikatakan berdusta, apabila segera menceritakan khabar yang diperolehi, kerana berita yang didengar boleh jadi ditokok tambah."*
4. Media sosial hari ini sering menyebarkan maklumat yang berbeza daripada yang asal. Contohnya petikan ucapan atau video mungkin juga dipotong dan disebarkan yang boleh menimbulkan kontrovesi. Lalu diolah dan diulas dengan gambaran yang berbeza daripada cerita asal atau keseluruhan ucapan. Oleh sebab itu apa yang didengar atau sesuatu yang ditulis boleh jadi benar, boleh jadi tidak. Jika seseorang menceritakan atau menyebarkan setiap apa yang ia dengar atau setiap apa yang diterima seperti menerusi whatsapp, telegram, FB dan sebagainya, maka ia telah berdusta kerana memberitakan sesuatu yang sebenarnya mungkin tidak terjadi atau tidak benar. Kalaupun benar mungkin boleh jatuh kepada mengumpat kerana sengaja membuka aib orang lain serta membuka ruang kepada maki hamun dalam komen-komen orang lain.
*Ingatlah Firman Allah:*
يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ
*Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya (tabayyun), supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.*
(al-Hujurat: 6)
5. Imam al-Syaukani berkata;
*“Yang dimaksudkan dengan ‘tabayyun’ adalah memeriksa dengan teliti, berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sesuatu peristiwa dan khabar yang datang, sehingga menjadi jelas dan terang baginya.”*
6. Berhati-hatilah apabila menyebar atau share sesuatu maklumat. Latihlah diri agar tidak terus share info yang diterima. Moga kita tidak menjadi pendusta. Justru diam itu lebih baik daripada menyebarkan cerita.
EmoticonEmoticon