9 CIRI HAMBA YANG BERSYUKUR DI ATAS NIKMAT ALLAH SWT.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين و على آله وصحبه اجمعين. أما بعد:

TAZKIRAH HARI INI UNTUK RENUNGAN BERSAMA.   
(Shah Alam , Isnin 30 Mac 2015).
 
9 CIRI HAMBA YANG BERSYUKUR DI ATAS NIKMAT ALLAH SWT.

Allah SWT banyak memberi nikmat kepada hamba-Nya,  sama ada yang zahir atau yang batin, yang nampak atau tidak nampak. Yang disedari atau yang tak disedari. Begitu besar nikmat Allah SWT yang wajib disyukuri. Yang jika dinilai dengan kekayaan dunia, maka tidak akan dapat dinilai dengan apa jua bentuk kekayaan.

Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim, ayat 7:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Ertinya:
”Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang diberi suatu kebaikan hendaklah ia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenangkan budi yang diberi ia dianggap sebagai kufur nikmat Allah SWT.”(HR. At-Tabrani).

Dalam hadith yang lain Dari Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:

”Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-ruah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang serba kekurangan.” (HR. Bukhari)

Dalam hadith yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

 ”Sesungguhnya Allah SWT mengurniakan kepada sesuatu kaum itu nikmat yang kekal berada bersama mereka,  selagi digunakan untuk menunaikan hajat mereka yang memerlukan. Apabila mereka ini berpaling daripada berbuat sedemikian maka Allah SWT akan pindahkan nikmat tersebut kepada kaum yang lain pula.”(HR.Tabrani)

Dari dalil di atas dapat diambil kesimpulan bahawa,  hamba yang bersyukur kepada Allah SWT memiliki tanda sebagai berikut:

1. Setiap nikmat itu wajib disyukuri, dan antara kunci rahsia dalam bersyukur ialah dapat mengundang nikmat Allah SWT yang berterusan.

2. Hamba yang bersyukur,  tidak merasa memiliki kecuali meyakini bahawa segalanya adalah menjadi milik Allah SWT. Hal demikian dapat mengelak seseorang daripada menjadi angkuh dan sombong dengan nikmat yang ada pada dirinya.

3. Hamba yang bersyukur selalu mengucapkan “Alhamdulillah”, memuji Allah SWT dalam segala keadaan sama ada ketika susah ataupun senang kerana nikmat yang harus disyukuri itu sebenarnya lebih banyak daripada musibah yang menimpa.

4. Hamba yang bersyukur mempercayai bahawa sebarang nikmat yang dikurniakan Allah SWT adalah jalan menuju Allah SWT atau mendekatkan diri kepada Allah SWT. Tahu membalas budi dan berterima kasih dengan kebaikan yang telah diberikan oleh seseorang.  Apatah lagi nikmat yang diberi oleh Allah SWT yang begitu banyak dan tidak ternilai harganya.

5. Hakikatnya tidak ada sesiapa yang berhak menerima kesyukuran dan pujian, selain daripada Allah S.W.T kerana terlalu besar nikmat dan pemberian yang diberikan oleh Allah kepada kita. Oleh itu sebagai tanda bersyukur kepada Allah kita hendaklah mengekalkan baik sangka kepada-Nya serta meletakkan keyakinan kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan diiringi dengan ketaatan dalam beribadah.

6. Sifat syukur hendaklah disuburkan dalam masyarakat di mana rakyat hendaklah disedarkan supaya menghargai keamanan dan kemakmuran dan  tidak lupa diri sehingga menyalahgunakan kuasa, melakukan kezaliman, kemewahan untuk pembaziran, melakukan maksiat dan gejala tidak sihat yang mengakibatkan berlakunya kerosakan dan bencana pada diri, keluarga dan masyarakat. Semua ini menunjukkan tanda kufur terhadap nikmat Allah SWT dan kesudahannya ia akan menjerumuskan masyarakat dan negara kepada kerosakan dan kehancuran kerana kurangnya rasa syukur.

7. Segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita hendaklah digunakan pada cara yang bertepatan dengan tuntunan syariat dengan tujuan yang diberikan. Kerana hal Itulah tanda kesyukuran yang dituntut dalam Islam.

8. Hamba yang bersyukur tidak bersifat kedekut untuk melakukan amal kebajikan dan bersedia memperbaiki segala amal perbuatannya, kerana Allah SWT akan memberi ganjaran walau sekecil mana pun amalan tersebut dilakukan.

9. Hamba yang bersyukur hendaklah mengambil pengajaran di atas kesusahan yang menimpa orang lain agar terbit rasa bersyukur di dalam diri dan supaya tidak mensia-siakan nikmat yang diperolehi kerana nikmat yang  disalahgunakan dan tidak disyukuri akan ditarik balik oleh Allah SWT.

Ya Allah jadikan kami hamba-Mu yang banyak bersyukur di atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada kami. Jauhkan kami ya Allah menjadi hamba yang kufur nikmat-Mu. Aamiinn Yaa Robbal 'Aalamiin !!!!!

Wallahu A'lam. 
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat. 
Wassalam USM. (Ustaz Sihabuddin Muhaemin).

Catatan:
ILMU ITU MILIK ALLAH SWT UNTUK DISEBARKAN. 
Sila KONGSIKAN Dengan Sesama SAUDARA  KITA. 
Mudah-Mudahan bermanfaat Untuk Semua.
Di Dunia Dan Di Akhirat Nanti. Insya-Allah. Aamiinn !!!!!

Kritik Dan Saran Yang Membina Sangat Dialu-alukan. 
Sila tlp/sms kami, USM (012-6653988). 
Atau layari laman facebook:
http://www.facebook.com:
USM - Sihabuddin Muhaemin.

TERIMA KASIH.  
(Shah Alam, Isnin 9 Jamadil Akhir 1436 H).