Mengejar Kelazatan Beribadah

Perkongsian Diskusi Dhuha oleh AF Ustaz Dr Shauqi Othman bertajuk "Mengejar Kelazatan Beribadah" pada Selasa, 27/10/15 di Masjid Negeri Shah Alam.

Semakin tinggi iman seseorang itu, semakin dia merasai kemanisan iman. Namun iman adakala naik dan adakalanya turun. Untuk kemanisan ibadah perlu kuatkan iman dan memperbanyakkan amalan zahir dan batin. Maka untuk mendapat kemanisan ibadah perlu kepada iman dan amal soleh.

Cari jalan supaya menjauhkan diri dari mengumpat dan diumpat supaya tidak muflis di akhirat nanti.
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda yang maksudnya:
“....Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada Hari Kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. Dia juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina orang, menuduh orang, memakan harta orang lain, membunuh dan memukul orang.  Lalu diberi segala pahala amal-amalnya itu kepada orang yang pernah dia zalimi ketika di dunia.  Jika telah habis pahalanya sebelum dapat dibayar kepada orang yang dizaliminya, maka dosa-dosa orang-orang yang dizaliminya tersebut akan dilemparkan kepadanya pula, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam Api Neraka!”(HR:Muslim)

Hukum mengumpat itu haram secara ijma' melainkan kepada 6 perkara:

1. Orang yang mengadu tentang kezaliman seseorang dengan menyebut nama orang zalim itu dan perbuatannya bertujuan untuk menghentikan kezalimannya.

2. Orang meminta tolong bagi menghilang maksiat dengan menyebut nama pelaku maksiat dan kesalahannya bertujuan untuk menghentikan maksiat itu.

3. Orang yang meminta fatwa tentang sesuatu masalah yang terpaksa menyebut nama dan kelakuannya.

4. Orang yang menakutkan orang Islam lain tentang kejahatan seseorang supaya terselamat daripada keburukan orang itu.

5. Menyebut nama seseorang yang masyhur dengan nama buruk seperti Amin Tempang dan sebagainya.

6. Menyebut nama orang yang menzahirkan kejahatannya bertujuan supaya orang lain berhati-hati dengannya dan juga agar dia menghentikan kesalahannya itu.

Mengambil ibrah dari peristiwa Taif, walaupun dicerca, dihina, dimaki dan dibaling batu hingga berdarah oleh penduduk Taif,  Baginda Rasulullah ﷺ tetap bersabar. Bahkan malaikat menawarkan Rasulullah ﷺ untuk menghempap gunung ke atas mereka, Nabi Muhammad menjawab, “Jangan! Tetapi aku menginginkan semoga Allah berkenan mengeluarkan dari anak-anak keturunan mereka yang menyembah Allah semata-mata, dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun”.

Dari Anas ra bahawa Nabi ﷺ bersabda: Tiga perkara yang apabila terdapat pada seseorang maka dia akan merasakan manisnya keimanan: Allah dan RasulNya lebih dicintainya dari selain keduanya, tidak mencintai seseorang kecuali kerana Allah dan benci kembali kepada keburukan sama seperti kebencian dirinya dicampakkan ke dalam api neraka”.

Jika tidak betul-betul mencintai Allah, bagaimana untuk mendapat kelazatan iman? Nikmat yang Allah berikan memang tidak terhitung. 

Bagaimana mungkin seseorang yang mendakwa mencintai Allah, tetapi tidak melakukan ketaatan kepadaNya tetapi melakukan amalan-amalan maksiat. Didik diri untuk kenal dan taat kepada Allah. Sentiasa merasai diri diawasi Allah dengan zikir ‘Allah bersamaku, Allah melihatku, Allah menyaksikanku.'

Cinta kepada Rasulullah ﷺ merupakan bukti cinta kita kepada Allah. Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran: 31

" Katakanlah: Jika kamu cintakan kepada Allah, maka ikutlah (ajaran) aku nescaya Allah akan menyintai kamu dan mengampunkan dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun laga Maha Penyayang."

2. Untuk mendapat kemanisan iman hendaklah tidak mencintai seseorang kecuali kerana Allah. Tidak dianggap beriman bilamana tiada kasih sayang sesama mereka. 7 golongan yang mendapat naungan Allah, antaranya 2 orang yang berkasih sayang kerana Allah. 

3. Untuk mendapat kemanisan iman, hendaklah dia benci kembali kepada maksiat/kemungkaran. Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud;

"Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya" (HR: al-Tirmizi)

Wallahu'alam