15 MEI 2015M / 26 REJAB 1436H
Sidang jemaah yang dirahmati Allah…
Khutbah yang akan sama-sama kita ikuti pada hari ini bertajuk : “Ibrah Daripada Peristiwa Israk Dan Mikraj”.
Israk dan Mikraj, sebuah perjalanan yang cukup mempesonakan seorang rasul dan menghiasi keimanan para umatnya yang bertaqwa. Israk dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, bukan suatu perjalanan yang mudah jika menempuhinya dengan kudrat biasa. Tetapi Allah SWT mengirimkan malaikat Jibril sebagai teman baginda. Kehebatan perjalanan tersebut tidak terhenti setakat di bumi palestin, akan tetapi Allah SWT menjemput baginda Mikraj ke Sidratul Muntaha, langit tertinggi dalam penciptaan Allah SWT. Begitulah perjalanan yang tergambar melalui Surah Al-Isra’, ayat 1:
Bermaksud : “Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Perjalanan yang berlaku di luar dimensi masa, tempat dan alam ini sukar untuk diterima akal masyarakat Makkah ketika itu. Hanya beberapa individu yang menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada Rasul yang tidak pernah berdusta sepanjang hidupnya. Antara mereka ialah Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA. Apabila perkhabaran tentang Israk dan Mikraj sampai kepadanya, beliau mengungkapkan sebuah kebenaran yang masyhur : “Seandainya khabar ini datang daripada Muhammad, lebih aneh daripada itupun aku akan mempercayainya”.
Peristiwa yang agung ini bukan sekadar kisah yang perlu diketahui dan diyakini sematamata oleh kita sebagai umat Rasulullah SAW, namun perlu bagi kita untuk meneliti serta menggali hikmah yang amat bernilai bak mutiara yang tersimpan di sebalik rantaian peristiwa ini.
Pertama : Sebelum Rasulullah SAW diangkat untuk mengadap Allah SWT, dada baginda SAW dibelah dan hatinya disucikan. Begitu halnya dengan kita yang bakal mengadap Allah SWT di akhirat nanti, bagaimana keadaan hati kita? Adakah kita telah sucikannya dan hiasi dengan haruman mahmudah atau sebaliknya.
Kedua : Perjalanan baginda SAW daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sebelum diangkat ke langit memberi pengertian bahawa masjid merupakan wadah hubungan antara Allah SWT dengan hamba yang dikasihinya. Mana mungkin kita merasai dekat dengan Allah SWT sedangkan kita jarang untuk hadir ke masjid?
Ketiga : Allah SWT telah menciptakan sebuah kenderaan berteknologi tinggi hingga mampu bergerak jauh dengan kelajuan yang tidak mampu dibayangkan oleh manusia. Inilah bukti keagungan Allah serta kekayaanNya dalam menjadikan sesuatu yang tidak dapat dicapai oleh manusia. Apakah kita masih meninggi diri di hadapan Allah SWT sedangkan kita tidak mampu menandinginya sedikitpun biarpun dari sudut penciptaan kenderaan.
Keempat : Dalam perjalanan yang hebat ini, Allah SWT memerintahkan Jibril untuk mengiringi Rasulullah SAW sebagai teman seolah-olah Allah SWT mengisyaratkan bahawa teman merupakan kekuatan bagi seseorang. Terbukti, hidup manusia memang sukar tanpa teman. Namun teman yang kita pilih haruslah yang mampu membawa kita menuju Allah SWT laksana malaikat Jibril yang menemani Rasulullah SAW untuk bertemu Allah SWT.
Kelima : Dalam perjalanan agung ini, Rasulullah SAW dibawa menyaksikan pelbagai siksaan bagi mereka yang ingkar. Sayunya hati melihat sekumpulan manusia memecahkan kepala mereka berulang-ulang lantaran beratnya kepala mereka untuk sujud kepada Allah SWT ketika di dunia. Ngerinya melihat sekelompok kaum yang menggunting lidah dan bibir mereka berkali-kali dek kerana di atas dunia mereka adalah orang yang suka menfitnah serta menyuruh sesuatu apa yang mereka sendiri tidak lakukan. Aibnya apabila terpandang orang yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain sambil dihalau layaknya seperti binatang. Takutnya melihat mereka yang memakan bara api dan batu neraka akibat enggan mengeluarkan zakat harta sewaktu di dunia. Ini semua menjadi pengajaran yang berharga kepada kita sebelum kita melangkah ke akhirat sana.
Keenam : Hikmah yang paling besar dalam peristiwa ini adalah kewajipan solat yang diterima daripada Allah SWT secara terus tanpa perantaraan malaikat. Bayangkan jika sesuatu tugasan dalam organisasi kita diminta oleh orang terpenting dalam organisasi, bahkan kita diberi layanan yang sangat istimewa untuk menerima tugasan tersebut. Pastinya ia merupakan tugasan yang sangat penting dan sangat diutamakan. Begitulah hikmah Allah SWT menjemput baginda SAW dengan jemputan istimewa ke Sidratul Muntaha bagi menerima perintah kefardhuan solat, jelas ianya bukan perintah yang boleh kita permainkan atau memandang dengan pandangan sebelah mata. Orang yang merendah-rendahkan kedudukan solat adalah orang yang tidak berakal sebagaimana Firman Allah SWT di dalam surah Al-Maidah, ayat 58 yang dibacakan di awal khutbah tadi yang bermaksud :
“Dan apabila kamu menyeru (mereka) untuk (mengerjakan) sembahyang, mereka menjadikannya bahan ejekan dan permainan. Yang demikian itu adalah kerana mereka benar-benar kaum yang tidak mahu mempergunakan akal.”
Rasulullah SAW mikraj ke langit dengan roh dan jasadnya menemui Allah SWT. Namun bagi kita umat baginda SAW, adalah mustahil berlaku demikian. Apa yang kita harapkan adalah segala amal soleh diterima, doa yang dilafaz terangkat, hajat yang diharap terkabul dan taubat yang mengubat batin mampu menjadi penghubung dan mikraj sehingga kepada Allah SWT. Ketahuilah bahawa Allah SWT sudah bermurah hati meringankan solat daripada lima puluh waktu kepada lima waktu sahaja, namun meluaskan rahmatnya dengan melipatgandakan ganjaran pahalanya. Ia nyata merupakan hadiah istimewa kepada umat Rasulullah SAW ketika malam Israk dan Mikraj. Imam Muslim Rahimahullah merakamkan daripada Anas bin Malik RA hadith baginda SAW yang berbunyi :
Bermaksud : “Baginda tidak henti-henti berulang-alik antara Tuhan dan Nabi Musa AS, sehinggalah Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardhukan hanyalah lima waktu sehari semalam. Setiap solat fardhu diganjarkan dengan sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti lima waktu solat fardhu sama dengan lima puluh solat fardhu. Begitu juga sesiapa yang berniat untuk melakukan kebaikan tetapi tidak dapat melakukanya, nescaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya. Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun dicatat baginya. Seandainya dia melakukannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan baginya.” Justeru, sebagai umat Rasulullah SAW yang mendapat keistimewaan ini, rebutlah peluang tersebut dengan menggandakan amalan soleh kerana umur umat Baginda SAW tidak panjang seperti umat terdahulu.
Para tetamu Allah yang diberkati, Kesimpulan dan pengajaran yang dapat kita petik daripada khutbah pada hari ini ialah :
Pertama : Mengimani Israk dan Mikraj merupakan bukti keimanan seseorang hamba Allah SWT terhadap apa yang disampaikan oleh Nabi SAW. Sebaliknya tidak beriman dengan apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW boleh menjerumuskan seseorang ke lembah kekufuran.
Kedua : Segala yang berlaku ketika peristiwa Israk dan Mikraj merupakan mukjizat khusus kepada Rasulullah SAW dan ibrahnya dapat kita teladani dalam menelusuri kehidupan pada hari ini.
Ketiga : Jagalah solat kerana ia merupakan perintah yang teramat istimewa dikurniakan Allah SWT kepada hamba-hambaNya. Solat juga merupakan penghubung makhluk dan Al-Khaliq. Hayatilah firman Allah SWT di dalam Surah an-Nisa’ ayat 136 :
Bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kitab yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya. Barangsiapa yang kufur kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, dan hari kemudian, maka sesungguhnya orang itu telah sesat sejauh-jauhnya.”
---TAMAT---
EmoticonEmoticon